GEBARA inisiatif martabat bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR: ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ adalah ungkapan yang sering kita dengar dan program yang saya rasmikan, GEBARA (Gema Bahasa dan Sastera) adalah satu inisiatif yang memartabatkan bahasa dan menghidupkan ungkapan ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, program GEBARA tidak hanya menyaksikan penyertaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Bahasa dan Sastera tetapi turut melibatkan Seni dan Budaya serta Etnik.

“Ia membentuk sebuah gabungan yang utuh demi memartabatkan bahasa kita.

“Setiap aktiviti yang dirancang dan setiap kata yang dituturkan adalah manifestasi kecintaan dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan yang menjadi tunjang identiti negara,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia berkata, inisiatif berkenaan selari dengan gagasan Malaysia MADANI untuk menyemarakkan lagi nilai bahasa jiwa bangsa, bahasa yang menyatukan, mengukuhkan dan melambangkan jati diri kita sebagai warga Malaysia yang sejati.

“Sambutan kali ini memberi fokus istimewa kepada Pertandingan Menulis Anekdot bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa”, satu wadah bagi anak bangsa meluahkan rasa cinta dan penghargaan mereka terhadap bahasa kebangsaan yang kita kasihi,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar usaha seumpama ini menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang untuk terus menyayangi dan menjunjung bahasa kebangsaan.

Anda Mungkin Berminat