KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui antara Kemboja dan Thailand, yang berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari tadi.
Menurut beliau, keputusan untuk menghentikan pertempuran serta mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan kesedaran bersama mengenai keperluan menahan diri, khususnya demi melindungi keselamatan orang awam.
Anwar berkata, Kenyataan Bersama yang dimeterai kedua-dua negara itu menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pelaksanaan pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN serta komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan.
“Langkah-langkah ini menyediakan asas ke arah kestabilan, dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong segala usaha bagi memastikan komitmen berkenaan dipatuhi, terutama ketika Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina tepat tengah malam, 1 Januari 2026.
Menurut Anwar, sokongan itu penting bagi memelihara prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman, stabil dan berteraskan kerjasama serantau.
Baca juga:








