PETALING JAYA: Gerakan Media Merdeka (GERAMM) mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim haram Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza yang mengorbankan kira-kira 20 rakyat Palestin termasuk lima wartawan antarabangsa pada Selasa lalu.
Dalam satu kenyataan media GERAMM hari ini, organisasi itu menyifatkan serangan tersebut sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kebebasan media.
Menurut GERAMM, lima wartawan yang terkorban dalam serangan itu ialah Hossam Al-Masri (Reuters), Maria Abu Daqqa (Associated Press), Moaz Abu Taha (NBC News), Mohammad Salama (Al Jazeera) dan Ahmad Abu Aziz (Wartawan Bebas).
GERAMM turut memetik laporan daripada Organisasi Kebebasan Media yang menyatakan bahawa kematian kelima-lima wartawan tersebut merupakan antara jumlah korban terbesar yang menimpa petugas media di Gaza.
“Sejak Oktober 2023, sekurang-kurangnya 192 wartawan telah terbunuh dan 90 masih dipenjarakan oleh Israel,” katanya.
Sehubungan itu, GERAMM menyatakan sokongan terhadap seruan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani siri pembunuhan dan penahanan wartawan di zon konflik.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap pencabulan berulang undang-undang kemanusiaan antarabangsa ini,” ujarnya.
GERAMM turut menggesa PBB agar mengambil langkah konkrit untuk menghentikan pembunuhan serta pemenjaraan wartawan dan menguatkuasakan perlindungan wajib terhadap petugas media dan perubatan di kawasan bergolak.
“Wartawan bukanlah pejuang, kematian mereka bukan sahaja tragedi peribadi tetapi juga satu tamparan hebat terhadap kebenaran dan akauntabiliti.
“Lindungi wartawan, lindungi orang awam, tamatkan kekebalan,” tegas kenyataan itu.








