Haji 2026: Lebih 1.5 Juta Jemaah Antarabangsa Tiba Di Arab Saudi

MAKKAH: Lebih 1.51 juta jemaah haji dari luar negara telah tiba di Arab Saudi setakat minggu lalu bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, sekali gus mencatatkan peningkatan sekitar 11,000 orang berbanding musim haji sebelumnya.

Angka itu diumumkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi yang berkata, operasi haji berjalan lancar meskipun rantau Timur Tengah masih berdepan konflik berlarutan dan cuaca panas ekstrem.

Menurut laporan rasmi, jumlah keseluruhan jemaah haji dijangka melebihi 1.7 juta orang, dengan sebahagian besar terdiri daripada jemaah antarabangsa.

Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan lebih 100 inisiatif baharu bagi memudahkan urusan jemaah termasuk sistem digital Nusuk untuk tempahan dari 126 negara, serta konsep ‘Hajj Without Luggage’ yang membolehkan jemaah menghantar bagasi terus ke destinasi tanpa perlu membawanya sepanjang perjalanan.

Selain itu, Inisiatif ‘Rute Makkah’ turut mempercepatkan proses imigresen di negara asal sebelum jemaah berlepas ke Tanah Suci.

Walaupun terdapat kebimbangan terhadap konflik geopolitik di rantau tersebut, ramai jemaah tetap berangkat dengan penuh keyakinan.

Pihak berkuasa turut menekankan aspek keselamatan dan kesihatan dengan lebih 60 agensi kerajaan digerakkan untuk memastikan kelancaran operasi.

Kemudahan seperti kipas semburan kabus air dipasang di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah menghadapi suhu panas melampau.

Anda Mungkin Berminat