Hakim Danish Bakal Gegar Pentas Dunia Moto3, Kerajaan Suntik RM3 Juta

PETALING JAYA: Sukan permotoran tanah air menerima suntikan semangat baharu apabila Kerajaan Madani menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan dana RM3 juta kepada Program Sukan Permotoran Malaysia (MDEV) sebagai usaha melahirkan jaguh negara yang mampu bersaing di pentas dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika menghadiri majlis pengumuman pasukan Moto3 Wildcard di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Rabu, turut mengumumkan berita yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran tanah air, apabila pelumba muda negara, Hakim Danish, bakal membuat penampilan sulungnya di kejohanan dunia.

“Dalam majlis tersebut, pelumba muda negara, Hakim Danish diumumkan bakal membuat penampilan sulung di pentas dunia melalui penyertaan sebagai pelumba Wildcard bersama Pasukan AEON Credit SIC Racing MSI pada PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 (MotoGP Malaysia) yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025,” kata Hannah Yeoh di Facebook pada Rabu.

Majlis bersejarah itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara AEON Credit dan ZK Racing iaitu satu langkah strategik yang menandakan komitmen jangka panjang dalam pembangunan sukan permotoran negara.

Kata beliau, ia merupakan simbolik mengenai satu perkongsian strategik dalam pembangunan sukan permotoran negara melalui Blueprint Pembangunan MDEV serta inisiatif bersama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC.

Lebih membanggakan katanya, AEON Credit turut tampil sebagai penyokong utama dengan sumbangan RM1 juta bagi menyokong penampilan Hakim Danish dalam Moto3 iaitu penyertaan pertama syarikat itu dalam dunia sukan permotoran, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama sektor swasta dan pembangunan atlet muda.

Dengan sokongan padu daripada kerajaan dan sektor korporat, penampilan Hakim Danish bukan sahaja menjadi lambang kejayaan program pembangunan MDEV tetapi juga harapan baharu buat Malaysia untuk melahirkan wira permotoran bertaraf dunia.

Anda Mungkin Berminat