Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita beberapa peralatan perniagaan termasuk meja dan kerusi di empat buah premis di Jalan Sultan (Petaling Street), Kuala Lumpur, pukul 10 malam, Khamis.
Perkara itu dibuat menerusi Tindakan Khas Pindah Halangan Premis Perniagaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL.
Menerusi hantaran di Facebook DBKL, empat daripada lapan buah premis di kawasan terbabit terlibat dalam penyitaan alatan perniagaan kerana meletakkannya di atas laluan awam tanpa kebenaran.
“Antara peralatan yang disita termasuk kerusi, meja, stall beroda, payung, dapur dan tong gas.
“Sejumlah 80 barangan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL di Cheras untuk rekod dan dokumentasi,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL turut mengeluarkan empat notis kompaun halangan tempat awam bawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974; satu notis kompaun dibawah UUK Iklan (WPKL) 1982; satu notis kompaun premis tanpa lesen dibawah UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan enam notis kompaun halangan kenderaan dibawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
Tindakan Khas ini diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama 32 orang pegawai DBKL yang turut serta.