Oleh: Tyah Helmi
KETERUJAAN dan obsesi para peminat terhadap konsert kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19 semakin memuncak apabila sebahagian besar tiket bagi konsert Dewa 19 CintaKu Tertinggal Di Malaysia dilaporkan hampir habis terjual.
Penganjur Icon Entertainmant menerusi kenyataan di laman Instagram memaklumkan, hanya satu kategori tiket masih berbaki kira-kira tujuh peratus, manakala kategori lain telah pun habis dijual.
Konsert berskala besar itu dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026 (Sabtu), jam 8 malam di Axiata Arena.
“Selepas tiga tahun menyepi daripada pentas Malaysia, Dewa 19 kembali mengubat rindu peminat tempatan dengan persembahan yang dijangka menghimpunkan ribuan BalaDewa dan BalaDewi dari seluruh negara.
“Konsert kali ini bakal menyaksikan kemunculan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Aris Lasso dan Marcello Tahitoe, selain penampilan khas pemain dram,Tyo Nugros,” tulis kenyataan itu.
Lebih istimewa, kumpulan Padi Reborn turut diumumkan sebagai artis jemputan khas, sekali gus menjadikan malam tersebut sebagai pertemuan dua nama besar muzik Indonesia dalam satu pentas.
Menurut wakil penganjur, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan pengaruh Dewa 19 masih utuh dalam kalangan peminat di Malaysia.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat – berdiri), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta), yang turut menawarkan kemeja-T konsert percuma.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang Ticket2U.
Kali terakhir Dewa 19 beraksi di Malaysia adalah pada tahun 2023 menerusi konsert Dewa 19: A Night At The Orchestra Chapter 5, dan penganjuran kali ini dijangka sekali lagi mencipta fenomena dalam kalangan peminat muzik serantau.
Baca juga:








