Hannah Yeoh Umum Senarai Atlet RTG, Fast Track 2025

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan senarai penuh atlet yang terpilih untuk menyertai Program ‘The Road To Gold’ (RTG) serta ‘Fast Track’ bagi tahun 2025.

Pengumuman dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat RTG, hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa 12 atlet telah disahkan menyertai Program RTG 2025 termasuk muka baharu seperti pemain skuasy negara, S. Sivasangari serta pasangan beregu lelaki badminton, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Senarai Atlet Program RTG 2025 yang telah disahkan, Aaron Chia (Badminton), Soh Wooi Yik (Badminton), Thinaah Muralitharan (Badminton), Pearly Tan (Badminton), Man Wei Chong (Badminton), Tee Kai Wun (Badminton), Chen Tang Jie (Badminton) dan Toh Ee Wei (Badminton).

“Mohd Aniq Kasdan (Angkat Berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom (Berbasikal), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (Berbasikal) dan Sivasangari Subramaniam (Skuasy),” ujar Hannah Yeoh.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa atlet yang masih belum disahkan penyertaannya dalam Program RTG 2025.

“Senarai Atlet Program RTG 2025 yang belum disahkan, Goh Sze Fei (Badminton – Pro), Nur Izzuddin Rumsani (Badminton – Pro), Goh Soon Huat (Badminton – Pro), Shevon Lai (Badminton – Pro),” tambahnya.

Beliau berkata, bagi Program Fast Track, seramai empat atlet telah disenaraikan termasuk tiga atlet dari sukan memanah dan seorang atlet skuasy.

“Senarai Atlet Program Fast Track 2025 ialah, Ariana Nur Dania (Memanah), Nurul Azreena Fazil (Memanah) dan Ng Eain Yow (Skuasy),” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa RTG turut meluluskan beberapa permohonan penting termasuk keperluan tambahan serta penyertaan dalam kejohanan utama bagi memperkukuh prestasi atlet menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sementara itu, pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Program RTG atas alasan peribadi.

Anda Mungkin Berminat