TEHRAN: Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran negaranya mungkin memusnahkan loji elektrik dan telaga minyak Iran sekiranya tiada perjanjian dicapai serta Selat Hormuz tidak dibuka semula.
Menurut laporan, pakar memberi amaran bahawa serangan terhadap infrastruktur awam boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang, namun Rumah Putih menegaskan tentera AS akan bertindak mengikut undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak dunia melonjak dengan minyak mentah AS melepasi paras AS$100 setong buat kali pertama sejak Julai 2022, susulan kenyataan Trump mengenai hasrat untuk “mengambil minyak di Iran”. Harga purata petrol di Amerika Syarikat kini mencecah AS$3.99 seliter.
Situasi keselamatan di rantau itu turut meruncing dengan beberapa insiden serangan dilaporkan. Sebuah kapal tangki minyak Kuwait yang berlabuh di Dubai dipercayai diserang dron Iran, manakala sekurang-kurangnya dua individu terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas sebuah rumah anak yatim di Iran.
Di selatan Lubnan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan tiga anggota pengaman terbunuh dan tiga lagi cedera sejak Sabtu akibat serangan Israel. Selain itu, sebuah kompleks penapisan minyak di Israel turut terkena serpihan serangan yang berjaya dipintas.

Sementara itu, Suruhanjaya Keselamatan Parlimen Iran meluluskan pelan untuk mengawal serta mengenakan caj ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Menurut laporan media kerajaan Iran, pelan itu bertujuan mengukuhkan kedaulatan negara dan peranan angkatan tenteranya, termasuk memperkenalkan langkah keselamatan, peraturan pelayaran serta bayaran tol dalam mata wang rial bagi kapal yang melalui selat tersebut.
Pelan berkenaan juga mencadangkan larangan laluan terhadap kapal milik Amerika Syarikat dan Israel.
Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu antara AS, Israel dan Iran kini menjadikan Selat Hormuz sebagai titik panas utama, dengan ancaman dan serangan ke atas kapal menyebabkan kira-kira 15 juta tong minyak sehari terkandas di Teluk Parsi, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan serius dalam pasaran minyak global.
Baca juga:








