Harga minyak dunia turun, Malaysia terima bekalan dari Iraq

Oleh: Syahir

ULASAN | Alhamdulillah seperti saya maklumkan semalam dan Petronas sendiri post pagi tadi bahawa kapal minyak mentah yang membawa minyak mentah dari Basrah, Iraq berkuantiti 1 juta tong minyak mentah telah tiba di Pengerang Johor.

1 juta tong minyak mentah bersamaan lebih kurang 159 juta liter minyak mentah ini akan dicampur dengan minyak mentah tempatan sebelum ditapis di loji penapisan minyak yang akan menghasilkan produk petroleum seperti petrol, diesel, bahan api pesawat dan LPG.

Seperti dimaklumkan Petronas juga setiap hari pengguna di Malaysia menggunakan 112 juta liter tong produk petroleum sehari bermakna 1 juta minyak mentah import dari Iraq ini hanya mencukupi untuk menampung kurang daripada 2 hari penggunaan produk petroleum dalam negara.

Sedikit konteks untuk pengetahuan semua, sebelum perang Iran bermula, negara kita mengimport purata sebanyak 9.7 juta tong minyak mentah sebulan dari negara rantau Asia Barat seperti Arab Saudi, UAE, Oman, Kuwai, Iraq dan Qatar.

Kekerapan ketibaan kapal tangki minyak dari rantau tersebut juga adalah sekitar 4 kapal sebulan.

Jadi ketibaan 1 juta tong minyak mentah dari Iraq semalam hanyalah lebih kurang 1% daripada keperluan import minyak mentah Malaysia.

Selepas perang bermula hujung Februari ketibaan kapal tangki minyak mentah dari Asia Barat menjunam dan kapal Ocean Thunder semalam adalah kapal tangki minyak pertama tiba sejak Mac.

Ada satu lagi kapal Very Large Crude Carrier (VLCC) dengan kapasiti 2 juta tong minyak mentah iaitu Serifos yang dalam perjalanan ke Melaka dijangka tiba ke Pelabuhan Melaka pada 21 April nanti di mana kapal ini juga membawa minyak mentah untuk Thailand jadi sebahagian penghantaran tersebut adalah milik PETRONAS dan juga milik syarikat Thailand PTT.

Jadi penting untuk kita memahami bahawa Malaysia sangat bergantung kepada minyak mentah dari rantau Asia Barat di mana rantau tersebut membekalkan hampir 70% daripada minyak mentah import negara kita dengan 50% daripadanya melalui Selat Hormuz.

Walaupun Iran mengumumkan Selat Hormuz dibuka sepenuhnya dalam tempoh gencatan senjata, perjalanan dan lalu lintas kapal-kapal melalui selat tersebut masih belum lancar malah dilaporkan ada banyak kapal terpaksa berpatah balik selepas diarahkan pihak berkuasa Iran.

Harga minyak mentah dunia Brent juga jatuh hampir 10% dan ditutup pada sekitar USD90 setong menjadikan ia kepada paras terendah sejak minggu ke-2 Mac.

Maka potensi harga diesel dan petrol Malaysia akan turun juga sangat tinggi dengan harga purata 5 hari (trading days) diambil kira.

Kita bersyukur dengan sedikit kelegaan ini tetapi untuk pasaran minyak dunia kembali normal seperti sebelum perang mungkin mengambil masa yang lebih lama kerana perlu ada perjanjian damai yang kekal dan juga pembaikpulihan fasiliti minyak dan gas yang rosak kerana serangan bom dan dron perlu mengambil masa.


***Penulis adalah pemerhati ekonomi dan sentiasa mengulas isu-isu semasa di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat