Harga petrol sentuh poket rakyat, Kerajaan elak tergesa-gesa – Penasihat Ekonomi PMO

SHAH ALAM: Kerajaan akan menjadikan pelaksanaan pelarasan subsidi petrol RON95 sebagai pilihan terakhir memandangkan kesannya yang besar dan langsung terhadap perbelanjaan harian rakyat.

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, kerajaan ketika ini masih mempunyai beberapa pilihan dasar lain dan akan membuat sebarang keputusan secara berhati-hati kerana harga bahan api merupakan isu yang sangat sensitif serta berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, sebarang langkah melibatkan penyelarasan subsidi petrol perlu diteliti secara mendalam bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada isi rumah.

“Petrol merupakan isu yang sangat sensitif kerana impaknya terus dirasai rakyat. Jika ada keperluan untuk menyelaraskan subsidi petrol, langkah itu akan ditangguhkan dan dijadikan pilihan terakhir,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menyemak semula subsidi petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi susulan perkembangan semasa pasaran tenaga global.

Dalam pada itu, Nurhisham berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha penjimatan lain termasuk memperketatkan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor logistik.

Menurutnya, ketika SKDS diperkenalkan, kuota yang diberikan adalah agak tinggi dan kini kerajaan sedang melakukan pelarasan berdasarkan data penggunaan yang dikumpulkan sepanjang dua tahun lalu.

“Kita sedang memperketatkan kuota dan terdapat penjimatan yang boleh dicapai melalui pendekatan ini. Ia lebih tertumpu kepada had operasi yang ditentukan berdasarkan data sedia ada,” ujarnya.

Mengulas isu bekalan bahan api susulan ketidaktentuan pasaran minyak global akibat konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengurangkan kuota bahan api bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa bekalan minyak mentah dan produk petroleum negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan, disokong oleh kedudukan strategik Malaysia yang memiliki syarikat minyak nasional Petronas serta kemudahan penapisan sendiri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat