VIENTIANE: Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila menundukkan Laos 3-0 dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Vientiane, malam Khamis.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu menyaksikan anak buah Peter Cklamovski mengekalkan rekod tanpa kalah dan kukuh di tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata penuh.
Turun tanpa tujuh tonggak warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), skuad negara tetap tampil bertenaga dan menguasai hampir keseluruhan permainan meskipun beraksi di atas padang yang tidak berada pada tahap terbaik.
Pada babak pertama, Harimau Malaya mencipta beberapa peluang namun gagal memecah kebuntuan, termasuk percubaan Romel Morales hasil hantaran Dion Cools yang ditepis kemas penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia terus menggandakan asakan dan akhirnya menemui jaringan pada minit ke-50 menerusi Arif Aiman Hanapi yang memperdaya pertahanan Laos sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Lokphathip.
Gol kedua hadir pada minit ke-68 selepas Dion Cools menyudahkan hantaran cantik daripada Corbin Ong, sebelum pemain gantian Faisal Halim melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan ketiga pada penghujung perlawanan.
Malaysia bakal melayan kunjungan Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, dengan misi mengesahkan kemaraan lebih awal ke pusingan seterusnya.
Baca juga: