Henti persepsi negatif, setiap laporan disiasat secara telus

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ambil maklum berkenaan satu hantaran video menerusi akaun TikTok milik @BETTYBANAFEE berkenaan 14 laporan polis yang dibuat oleh pengadu sejak dua tahun lalu yang dikatakan gagal membuat siasatan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, kesemua laporan polis yang dibuat oleh Shakib Abu Bakar Banafee (dipercayai adik kepada individu dalam video tersebut) telah disiasat secara wajarnya oleh pihak polis.

“Pihak polis membuka dua kertas siasatan masing-masing di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan di bawah Seksyen 409 telah pun selesai dan kes telah diputuskan NFA (No Further Action) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun 2024 selepas mendapati tiada keterangan mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah.

“Malah, kes ini telah dirujuk dan disemak semula oleh pihak peguamcara negara pada Ogos 2024 dan keputusan NFA dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pegawai penyiasat juga telah pun mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes ini berkenaan keputusan siasatan kes tersebut.

“Manakala, kes di bawah Seksyen 420, siasatan masih dijalankan. Pihak polis memberi jaminan yang adil dan telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Pihak polis ingin menegaskan adalah tidak wajar melemparkan tuduhan negatif kepada pihak polis hanya kerana dapatan siasatan tidak berpihak kepada pengadu.

Justeru itu, semua laporan polis yang diterima akan disiasat dengan sewajarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat