Henti politikkan isu pengampunan Najib – Khaled

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa UMNO akan terus memperjuangkan keadilan buat bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak secara perlembagaan dan mengikut proses undang-undang.

Beliau menekankan bahawa UMNO setia kepada bekas Presiden atas jasa-jasanya kepada bangsa dan negara.

“UMNO tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apa lagi pada seorang bekas Presidennya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Khaled mengkritik parti politik yang menjadikan proses pengampunan Najib sebagai modal politik dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

“Kerana itu, UMNO akur dengan hikmah diraja dan sentiasa akan bertindak secara berpelembagaan,” katanya.

Beliau turut mengecam parti politik yang meneruskan himpunan pada 6 Januari ini yang didakwa membelakangi nasihat pihak berkuasa, malah sebagai pemain ‘politik tanpa moraliti’.

Khaled menegaskan bahawa moral, undang-undang, perlembagaan, keamanan negara, perpaduan nasional serta keharmonian beragama tidak seharusnya dieksploitasi demi kepentingan politik.

“Jika agama dan kaum pun dijadikan komoditi politik oleh kumpulan tersebut, inikan pula kes Datuk Seri Najib.

“Semua itu, tersedia untuk dieksploitasi demi ‘optik’ politik dan tidak lebih dari itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Anda Mungkin Berminat