Himpunan Azam Baki Didakwa Bawa Naratif Politik, Bukan Isu Integriti

KUALA LUMPUR: Himpunan Tangkap Azam Baki pada Sabtu lalu didakwa telah berganjak daripada isu integriti kepada medan pembentukan naratif politik yang turut mengaitkan kepimpinan kerajaan.

Pandangan itu dikongsikan oleh Faiz Ahmad menerusi video di TikTok, yang turut mengkritik pendekatan Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam menggerakkan isu berkenaan.

Beliau berkata, himpunan yang disertai bersama oleh Ahli Parlimen Pandan itu tidak hanya tertumpu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebaliknya turut membawa naratif lebih luas sehingga mengaitkan kepimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Poster dia ada gambar Anwar, ada menteri lain. Ini bukan lagi sekadar isu Azam Baki. Ini dah jadi naratif, mungkin nak bawa kepada ‘humban Anwar’ dan sebagainya. Itu yang saya nampak sebagai peniliti persepsi,” katanya.

Dalam masa sama, Faiz berpandangan bahawa pendekatan kritikan Rafizi terhadap kerajaan sebagai tidak konsisten dan kurang memberi impak langsung terhadap isu utama yang dibangkitkan.

“Kalau pengurusan ekonomi teruk, saya tak nampak pun. Kalau isu rasuah, tak ada serangan yang betul-betul menjurus ke arah itu.

“Jadi apa sebenarnya yang dia nak fokuskan?” soalnya.

Tambahnya lagi, beberapa kritikan yang dibawa dalam ruang politik lebih bersifat longgar dan tidak sampai kepada tahap yang boleh menggugat hujah pihak kerajaan secara serius.

“Serangan berkaitan ekonomi dia tak tajam, sangat longgar sebenarnya.

“Kalau betul nak lawan, sepatutnya lebih jelas dan spesifik,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan Himpunan Tangkap Azam Baki pada Sabtu dilaporkan dihadiri sekitar 300 peserta.

Anda Mungkin Berminat