Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kota ibu negara bakal menyaksikan Himpunan Melayu Berdaulat yang dirancang menghimpunkan belasan ribu orang Melayu di perkarangan Pusat Beli Belah,Sogo Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, memaklumkan pihaknya masih dalam proses berbincang dengan penganjur Himpunan Melayu Berdaulat bagi memastikan pematuhan kepada Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
“Pihak Polis telah terima makluman perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
“pihak polis dlm proses perbincangan dgn pihak penganjur,” katanya secara ringkas dalam satu kenyataan.
Ujar Sulizmie Affendy, pihak polis turut mengambil maklum bahawa perhimpunan berkenaan dijadualkan berlangsung ketika Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara, dan perkara itu sedang dinilai secara menyeluruh.
Dalam satu kenyataan yang berasingan, Syed Hassan Syed Ali selaku anggota Sekretariat Himpunan Melayu Berdaulat berkata, walaupun perbincangan lanjut sedang dilaksana bersama pihak polis, tiada keputusan dibuat setakat ini untuk membatalkan atau menunda perhimpunan berkenaan.
“Kami sedar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang sibuk menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang bermula esok, namun buat masa ini, tiada sebarang perubahan tarikh diumumkan,” kata beliau kepada Malaysia Bangkit harini.
Dengan itu katanya, Perhimpunan yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini tetap diteruskan seperti dirancang.
Untuk rekod, Himpunan Melayu Berdaulat dianjurkan oleh gabungan beberapa NGO dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 peserta.
Perhimpunan itu bertujuan menyuarakan isu-isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, termasuk bantahan terhadap cadangan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar serta isu tanah rizab Melayu.
Himpunan dirancang diadakan di perkarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur bermula jam 2.30 petang.