BERSIH hargai Ahli Parlimen suara pandangan NGO dalam RUU Pindaan 2025

PARLIMEN: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz menghargai Ahli Parlimen yang membawa suara NGO dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan 2025.

Menurutnya, RUU itu menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibentangkan semalam.

Antara Ahli Parlimen yang memperjuangkan pandangan NGO ialah Syahredzan Johan, Wan Saiful Wan Jan, Wong Chen, Saifuddin Abdullah dan Hassan Karim.

Menurut Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi, NGO seperti BERSIH, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) dan Rasuah Busters telah menyuarakan pandangan mereka berhubung pindaan kedudukan Setiausaha Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Negara di bawah Perkara 65.

Beliau menjelaskan bahawa NGO-NGO itu bukan menolak sepenuhnya pindaan tersebut tetapi memahami kepentingannya dalam reformasi Parlimen.

“Jelas, NGO-NGO ini menggesa kita semua menyokong RUU Pindaan Perlembagaan ini,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa pandangan NGO perlu diambil secara menyeluruh dan bukan sekadar memilih yang selari dengan kepentingan tertentu.

“Pihak sebelah sana tak boleh hanya ambil yang menguntungkan mereka dan tinggalkan gesaan sebenar masyarakat sivil,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat