Hubungan Kerajaan Perpaduan kekal erat meskipun BN, PH gerak solo PRN

PUTRAJAYA: Hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal kukuh meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu tidak menjejaskan hubungan antara pimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Tidak ada kesan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi juga berjalan dengan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah dan rasa hormat,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, hubungan dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan terus kekal erat walaupun parti-parti komponen membuat keputusan berbeza di peringkat negeri.

Mengulas persoalan mengenai kewajaran mengadakan PRN ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan krisis tenaga global, Fahmi berkata proses demokrasi perlu diteruskan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat perkenan pihak istana.

“Permohonan daripada Menteri Besar kedua-dua kerajaan negeri tersebut telah diperkenan oleh raja yang berdaulat.

“Di Johor, Pemangku Sultan Johor dan di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar, jadi DUN telah terbubar, kita lalui proses,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan pertemuan antara pemimpin PAS dan UMNO yang dipercayai berlangsung semalam tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Tak dibincangkan, mungkin boleh tanya esok sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR,” katanya ringkas.

Beliau turut memaklumkan MPP PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan di Johor esok, termasuk membincangkan status Kongres Tahunan parti itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat