Hujan Berterusan Dijangka Melanda Beberapa Negeri – MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada yang dijangka melanda beberapa negeri bermula Rabu hingga Khamis dengan risiko banjir dan tanah runtuh di kawasan terjejas.

Dalam kenyataan rasmi, MET Malaysia memaklumkan amaran tahap bahaya dikeluarkan bagi Pahang khususnya di Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Selain itu amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pahang melibatkan Jerantut, Maran dan Bera.

“Terengganu pula di Dungun dan Kemaman serta Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

“Manakala amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Maran.

“Di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Manakala Negeri Sembilan, Melaka serta Johor meliputi Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,” menurut kenyataan itu.

Selain hujan berterusan, MET Malaysia turut mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora berkuat kuasa sehingga 18 Disember 2025 bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.

Analisis terkini menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak mulai 21 hingga 24 Disember 2025, yang boleh menyebabkan kelembapan meningkat dan berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat serta angin kencang di kawasan tersebut.

Ketua Pengarah MET Malaysia berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil terutama di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara.

Anda Mungkin Berminat