Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen beroperasi lebih 2 tahun

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen yang dipercayai sudah beroperasi selama dua tahun menerusi satu operasi khas pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun, dikenali sebagai ‘Ofu Bhai’ yang juga merupakan dalang utama sindiket tersebut.

Pihak imigresen turut menahan seorang wanita warga Filipina dalam lingkungan usia 40 tahun yang dipercayai merupakan ‘orang kanan’ kepada Ofu Bhai.

“Hasil semakan terhadap kedua-dua yang ditahan didapati suspek lelaki tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala wanita tersebut pula telah tinggal melebihi masa.

“Sindiket tersebut dipercayai menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ruslin turut berkata, sindiket berkenaan menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap naskah pasport.

“Dalam pada itu, pihak imigresen turut merampas satu set komputer, 211 pasport asing dari Bangladesh, India, Filipina, Myanmar dan Indonesia.

“31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Fomema, pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.00 turut dirampas dalam operasi tersebut,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 55D, Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, Permit, Pas atau Kelayakan serta Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966 iaitu memalsukan, mengubah atau mengusik pasport atau dokumen perjalanan, atau mana-mana visa tanpa kuasa yang sah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat