DALAM satu momen penuh emosi dan keikhlasan, pelakon serta pengarah tersohor Datuk Fizz Fairuz, 45, mengumumkan pengunduran dirinya daripada dunia radio selepas setahun enam bulan menceriakan pagi pendengar menerusi segmen popular Morning Morning Suria.
Pengumuman itu dibuat secara langsung pagi tadi ketika bersiaran bersama dua rakan penyampai, Ajak Shiro dan Kai Hassan dan menjadikan hari terakhirnya di konti sebagai satu kenangan yang cukup bermakna.
“Hari ini adalah hari terakhir saya di Suria FM. Terima kasih banyak-banyak kepada semua.
“Sekurang-kurangnya ada impian saya yang tercapai. Saya pernah cakap suatu hari nanti nak jadi deejay.
“Alhamdulillah, saya dah jadi pengarah, pelakon dan deejay,” katanya dalam nada sebak.
Fizz menjelaskan bahawa keputusan itu lahir daripada keinginan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga khususnya anak-anak yang sedang membesar serta untuk membantu isterinya, Datin Almy Nadia yang selama ini menggalas tanggungjawab rumah tangga seorang diri.
“Saya masuk radio sebab minat dan Datuk Nash pun pernah cakap suara saya sesuai untuk radio.
“Saya memang suka buat drama radio, impian tu dah jadi kenyataan.
“Tapi sekarang, saya rasa ini masa yang sesuai untuk beri fokus kepada keluarga. Anak-anak makin membesar dan saya nak bantu isteri yang dah lama urus semuanya seorang diri,” katanya lagi.
Sebelum segmen berakhir, suasana menjadi hening apabila Fizz menitipkan pesanan menyentuh hati buat dua sahabatnya di konti.
“Kita tetap boleh berjumpa di luar. Jangan tinggal solat. Sejadah yang saya tinggalkan, gunalah,” katanya sambil berpelukan dengan Ajak.
Di media sosial, Almy turut meluahkan rasa bangga dan syukur atas keputusan suaminya yang mementingkan keluarga melebihi segalanya.
“Riak wajahnya menggambarkan apa yang dia rasa. Bertahan demi isteri dan anak-anak. Dia percaya rezeki Allah sangat luas. Itu yang mama selalu cakap… percaya pada rezeki Allah. Syukur Alhamdulillah,” tulis Almy di Instagram.
Fizz mula menyertai Suria FM pada 21 Januari 2024 dan sejak itu telah menjadi suara yang dinanti-nantikan setiap pagi oleh ribuan pendengar.