PARLIMEN | Kerajaan Madani memperkenalkan lebih 40 dasar dan inisiatif utama baharu serta meminda lebih 80 akta termasuk menggubal undang-undang baharu sepanjang tiga tahun pentadbirannya, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasir berkata, kerajaan kekal komited melaksanakan reformasi secara menyeluruh dan berfasa dengan matlamat menstruktur semula ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan.
Menurutnya, lebih 50 projek berimpak tinggi telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan hasil reformasi itu kini mula menunjukkan kesan positif.
“Pelbagai reformasi yang dilaksanakan setakat ini telah menunjukkan kejayaan dari sudut makroekonomi dan turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah yang boleh dirasai oleh rakyat.
“Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat 3.8 peratus kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM8,479 pada 2022. Kadar kemiskinan mutlak juga menurun kepada 5.1 peratus daripada 6.2 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang mempersoalkan sejauh mana janji reformasi ekonomi kerajaan ditunaikan, memandangkan pendapatan rakyat didakwa tidak meningkat seiring kenaikan kos sara hidup serta keperluan indikator sebenar kejayaan reformasi.
Mengulas lanjut, Akmal menegaskan kejayaan reformasi ekonomi kerajaan tidak diukur semata-mata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang terkawal, pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan serta pengurangan kadar kemiskinan merupakan indikator utama yang membuktikan reformasi ekonomi mula menampakkan hasil,” katanya.
Baca juga:








