Indonesia jemput Fadillah sampaikan ucaptama di ISF 2024

PUTRAJAYA: Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual akan menyampaikan ucaptama di Forum Kelestarian Indonesia (ISF) 2024 atas jemputan kerajaan Indonesia.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta, Indonesia dalam rangka lawatan kerja rasmi bermula esok hingga Jumaat (6 Sept) bagi memperkukuhkan imej serta peranan Malaysia dalam agenda kelestarian dan kemampanan di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran Datuk Seri Fadillah ke forum ini bakal memperkukuh imej dan peranan Malaysia dalam agenda kelestarian dan kemampanan di peringkat antarabangsa terutamanya dalam visi peralihan tenaga, selain menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam mencapai agenda pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050,” kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan.

PETRA turut memaklumkan pendirian Malaysia berhubung agenda kemampanan dan kelestarian dalam mitigasi iklim melalui pelbagai inisiatif adalah penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti ISF 2024.

“Selain itu, ia turut menunjukkan ketersediaan Malaysia dalam melaksanakan peralihan secara lestari kepada pelabur asing agar boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk membuat pelaburan di Malaysia sekali gus mendorong pelabur menyempurnakan agenda kemampanan serta matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” menurut kenyataan itu.

Fadillah juga dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Koordinasi Bidang Kemaritiman dan Investasi Republik Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan selain dijadual bertemu diaspora Malaysia di Jakarta bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara dalam aspek peralihan tenaga.

Anda Mungkin Berminat