Industri sukan laksana projek rintis jimat elektrik


Oleh: Shafira Aziz

BUKIT JALIL: Satu lagi langkah proaktif diambil dalam usaha negara untuk menghadapi cabaran perubahan iklim apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan sesi khas Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) bersama para penggiat industri sukan.

Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Program tersebut menyasarkan para pengendali pusat-pusat dan kemudahan sukan untuk mengambil langkah-langkah kecekapan dan penjimatan tenaga.

Usaha itu bukan sahaja mampu mengurangkan kos operasi, malah turut menyumbang kepada agenda nasional dalam menangani isu perubahan iklim melalui pengurusan tenaga yang lebih bijak dan cekap.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menekankan kepentingan pengurusan tenaga dalam industri sukan, yang lazimnya menggunakan jumlah tenaga yang signifikan.

“Pusat-pusat latihan dan kemudahan sukan seperti stadium, padang, gelanggang, arena, dan gimnasium boleh meraih manfaat besar daripada amalan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

“Sebagai langkah permulaan, KBS telah memilih TNB Energy Services (TNBES) untuk melaksanakan projek rintis penjimatan kos elektrik di fasiliti-fasiliti sukan milik KBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia untuk lebih memahami dan menyokong inisiatif tenaga boleh baharu (TBB).

Beliau mengajak semua pihak untuk mendukung peralihan tenaga ke arah penggunaan tenaga yang lebih bersih demi melindungi bumi serta memastikan keseimbangan ekonomi, sosia dan alam sekitar.

Anda Mungkin Berminat