Inisiatif Sejahtera Madani Lepasi Sasaran, RM120 Juta Berjaya Dikumpul

PUTRAJAYA: Inisiatif Sejahtera Madani yang dilancarkan kerajaan berjaya mengumpul sebanyak RM120 juta, melepasi sasaran awal yang ditetapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, menunjukkan komitmen bersama dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

“Awalnya saya nyatakan jika dapat RM50 juta pun sudah memadai kerana kerajaan boleh bantu sedikit. Namun, sambutan amat luar biasa. Walaupun ada yang mempertikaikan inisiatif ini, setakat ini kita berjaya kumpul RM120 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Inisiatif Sejahtera Madani 2025 di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan yakin matlamat membasmi kemiskinan tegar boleh dicapai berdasarkan perkembangan semasa dan kerjasama pelbagai pihak.

“Inisiatif ini menampilkan pendekatan menyeluruh negara (whole-of-nation), dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Malah, kita hanya sasarkan 200 sekolah untuk pengambilan sebelum ini, tetapi setakat ini, sudah 1,000 sekolah ditawarkan,” katanya.

Sejahtera Madani merupakan program bersepadu yang diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Program ini merangkumi pelbagai bentuk bantuan melibatkan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta, merangkumi empat fokus utama iaitu penjanaan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.

Menurut JPM, dana Sejahtera Madani yang diperoleh menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan disalurkan terus ke dalam Tabung Kesejahteraan Rakyat, di bawah seliaan ICU JPM.

“Semua sumbangan CSR layak mendapat pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Setakat 15 Julai lalu, sejumlah 306,403 ketua isi rumah berdaftar dalam sistem eKasih di seluruh negara, dengan 1,017 diklasifikasi sebagai miskin tegar dan 305,386 sebagai miskin.

JPM turut memaklumkan kerajaan menyasarkan pengurangan kadar kemiskinan sebanyak 33 peratus tahun ini melalui pelaksanaan program yang lebih menyeluruh dan berfokus.

Majlis pelancaran turut menyaksikan 16 ketua isi rumah eKasih terpilih dari seluruh negara menerima bantuan khas daripada kerajaan sebagai penghargaan dan simbolik kepada kejayaan awal program ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat