Insiden Bakar Kereta Cikgu Chandra: Polis Selangor Tahan 12 Suspek Utama

PETALING JAYA: Polis Selangor berjaya menahan seramai 12 individu tempatan yang dipercayai dalang utama dalam kes khianat dan ugutan jenayah di Taman Kinrara, Puchong pada 9 dan 10 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan melibatkan sebelas lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Menurut beliau, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ IPK Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang antara 12 hingga 15 Mac di beberapa lokasi sekitar Banting, Subang dan Serdang.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih ditahan untuk siasatan lanjut, manakala lima lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga kereta iaitu Toyota Vios oren, Honda City putih dan Nissan Almera kelabu serta dua motosikal iaitu Honda Wave merah hitam dan Yamaha Y16 kelabu yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Selain itu katanya, 14 telefon bimbit, sebuah topi keledar dan pakaian yang dipakai suspek ketika insiden turut dirampas.

Shazeli memaklumkan, semakan rekod lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek didapati negatif dadah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427, 506 dan 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif sebenar.

Polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima dua laporan berasingan berhubung insiden menimpa aktivis masyarakat dikenali sebagai Cikgu Chandra.

Pada 9 Mac, sekitar pukul 3.30 petang, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyerang rumah mangsa di Taman Kinrara.

Mereka memecahkan cermin belakang Perodua Viva milik mangsa serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Tidak lama kemudian, pada pukul 3.20 pagi 10 Mac, kumpulan sama dipercayai kembali dan mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tindakan itu menyebabkan sebuah Suzuki Ertiga milik Cikgu Chandra terbakar sepenuhnya, manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas.

Anda Mungkin Berminat