Insiden Putra Heights: Dakwaan sorok kematian tidak benar – KP Selangor

SUBANG JAYA: Polis Selangor mengesahkan tiada kematian dilaporkan susulan kejadian letupan gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dakwaan berlakunya kematian akibat kejadian itu juga tidak benar, malah polis tidak pernah menyembunyikan apa-apa kematian di negara ini.

“Mengenai dakwaan sorok kematian juga sama sekali tidak benar. Polis tidak pernah sorok kematian dan tidak ada manfaat untuk perkara itu.

“Saya minta kepada netizen janganlah buat tuduhan seperti itu kerana sebarangan dakwaan tidak berasas akan menggusarkan dan merisaukan orang ramai.

“Setiap hari agensi terbabit membuat dokumentasi secara individu. Jadi masing-masing akan membuat laporan daripada pemeriksaan siasatan itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, polis sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk faktor mekanikal, alam sekitar, operasi, keselamatan dan pemantauan.

“Faktor mekanikal ini melihat faktor kerosakan akibat aktiviti manusia, faktor alam sekitar melihat faktor pergerakan bawah tanah, faktor operasi misalnya melihat isu penyelenggaraan alatan. Saya tak nampak mana-mana pihak sembunyi sebarang penemuan di kawasan terbabit,” ujarnya.

Tambah Hussein, sehingga hari ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan harta benda akibat kejadian itu.

Beliau juga memaklumkan sudah menempatkan 120 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) hanya untuk memastikan keselamatan di setiap laluan dan simpang di taman serta kampung.

“Jika ada yang mendakwa kehilangan harta benda sila buat laporan polis,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat