KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada kejayaan negara tanpa asas integriti yang kukuh, dalam satu forum ilmiah yang berlangsung malam tadi di Institut Integriti Malaysia.
Beliau hadir sebagai panelis dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-8, yang membincangkan isu-isu teras seperti integriti, kepimpinan dan reformasi.
“Saya tegaskan tiada kejayaan negara tanpa asas integriti yang kukuh.
“Sistem hanya berfungsi dengan baik apabila dipimpin insan yang amanah dan berprinsip. Inilah teras tatakelola Kerajaan MADANI,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap normalisasi rasuah dan kemerosotan nilai dalam politik serta naratif awam.
Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai cabaran paling besar yang perlu ditangani dengan keberanian moral dan tekad yang jitu.
Mengimbau sejarah, Anwar merujuk kepada Salahuddin Al Ayyubi yang menumpukan dekad awal pemerintahannya kepada pembinaan integriti, disiplin dan budaya ilmu sebelum muncul sebagai panglima agung menakluki Baitulmuqaddis.
Beliau turut mengangkat falsafah Ibnu Khaldun yang menekankan bahawa kekuatan tamadun bergantung kepada nilai dan semangat kebersamaan.
“’Esprit de corps’ atau semangat kebersamaan menjadi tunjang, manakala rasuah dan sikap permisif membawa kemerosotan,” ujar beliau.
Anwar turut menekankan bahawa reformasi bukan sekadar soal digitalisasi atau transisi tenaga tetapi menuntut pencerahan nilai, pengukuhan etika dan budaya ilmu yang hidup dalam masyarakat.
“Hanya dengan asas ini Malaysia boleh membina tamadun yang tidak sekadar hebat teknologinya, tetapi luhur jiwa dan akhlaknya,” katanya lagi.