Iran Enggan Runding, AS Ugut Serangan Lebih Dahsyat

TEHRAN: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) memberi amaran keras kepada Iran supaya menerima kekalahan atau berdepan serangan yang lebih dahsyat, ketika Tehran menolak rundingan dan berikrar untuk terus berperang.

Serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran berterusan, manakala Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu yang menyasarkan kawasan tengah dan utara Israel.

Dalam masa sama, tentera Israel turut meningkatkan serangan ke atas Lubnan, dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengumumkan peluasan zon penampan di selatan negara itu.

Sementara itu, Negara Teluk termasuk Bahrain, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan berjaya memintas peluru berpandu serta dron Iran, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kesan serius sekiranya Selat Hormuz ditutup berpanjangan.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan 17 dron di wilayah timur negara itu dalam tempoh dua jam, namun tidak mendedahkan punca serangan atau sebarang kerosakan.

Iran sebelum ini dilaporkan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas negara jiran Teluk sebagai tindak balas terhadap kehadiran tentera Amerika Syarikat di negara berkenaan.

Di Bahrain, Kementerian Dalam Negeri menggesa orang ramai supaya kekal tenang dan segera menuju ke lokasi selamat susulan ancaman keselamatan.

Dalam perkembangan lain, pegawai Israel dilaporkan secara terbuka menunjukkan sokongan kepada sekutu mereka, Amerika Syarikat, khususnya dalam usaha ke arah rundingan dengan Iran.

Namun, secara dalaman, terdapat kebimbangan mengenai sama ada kepentingan Israel akan terus dilindungi dalam sebarang rundingan, termasuk isu garis merah seperti struktur kepimpinan Iran selepas konflik berakhir.

Media Amerika Syarikat turut melaporkan bahawa Israel kini mempercepatkan kempen ketenteraan dalam beberapa hari akan datang sebagai persediaan sekiranya gencatan senjata diumumkan secara mengejut.

Langkah itu juga dilihat memberi kesan kepada operasi jangka panjang Israel di Lubnan terhadap kumpulan Hizbullah.

Kerajaan Israel dalam pada itu dilaporkan meningkatkan had pengambilan anggota simpanan tentera kepada 400,000 berbanding 280,000 sebelum ini, mencerminkan kemungkinan konflik yang lebih besar dalam tempoh terdekat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat