KUALA KEDAH: Lautan sekali lagi berduka apabila seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy iaitu spesies marin yang makin terancam ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas tersangkut pada pukat pari haram di perairan Kuala Kedah.
Penemuan memilukan itu dibuat oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah ketika rondaan rutin kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah, kira-kira pukul 11 pagi, semalam.
Menurut Pengarah Zon, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, kejadian itu dikaitkan dengan penemuan sebidang pukat pari bernilai kira-kira RM2,000 yang dipercayai digunakan secara haram.
“Pukat pari ini antara alat tangkapan yang diwartakan sebagai haram di bawah Akta Perikanan 1985 kerana sifatnya yang tidak selektif, ia bukan sahaja memerangkap pari dan anak-anak ikan tetapi juga mengancam spesies marin yang dilindungi seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy,” jelas beliau.
Untuk info, spesies Irrawaddy (Orcaella brevirostris) atau empesut, semakin sukar ditemui di Asia Tenggara dan kehilangan seekor sahaja memberi tamparan besar kepada keseimbangan ekosistem, apatah lagi apabila bilangannya kini amat kecil dan sukar dikesan.
Azreyanti turut memaklumkan bahawa ini merupakan rampasan keenam pukat pari tahun ini, sekali gus menandakan usaha penguatkuasaan semakin giat dilaksanakan.
“Jika aktiviti ini berterusan tanpa kawalan, bukan sahaja pari akan pupus tetapi spesies marin lain yang bergantung kepada rantaian makanan ini juga akan terancam.
“Keadaan ini membimbangkan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan pukat pari bukan sahaja mengancam spesies dasar laut, malah boleh menggugat keseimbangan seluruh ekosistem marin.
Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan dan masyarakat maritim agar meningkatkan kepekaan terhadap pemuliharaan biodiversiti laut dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579.
“Kita perlu bertindak bersama. Setiap nyawa spesies marin yang terkorban akibat ketamakan manusia adalah kehilangan besar kepada alam dan generasi akan datang,” tambah beliau penuh harapan.