Islam Bukan Milik Parti Politik – Aiman Athirah

PETALING JAYA: Islam adalah agama suci yang merentasi sempadan kepartian dan tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana parti politik, tegas Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap naratif yang mendakwa bahawa ‘undi Pas merupakan amal jariah berterusan’, sambil menegaskan bahawa penyempitan agama kepada simbol politik adalah sesuatu yang perlu ditegur dengan penuh hikmah.

“Islam lebih besar daripada Pas, PH, Umno atau mana-mana parti.

“Jangan kecilkan agama sehingga muat dalam lambang politik,” katanya.

Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, dalam tradisi keilmuan Islam, amal jariah mempunyai pengertian khusus seperti ilmu yang dimanfaatkan, wakaf yang memberi manfaat berpanjangan dan anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.

“Mengangkat undi kepada sesebuah parti sebagai amal jariah berterusan seolah-olah meletakkan cop keagamaan yang mutlak kepada pilihan politik tertentu adalah sesuatu yang perlu ditegur dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, pilihan politik adalah medan ijtihad dan seorang muslim bebas memilih mana-mana parti yang diyakini mampu membawa keadilan, integriti, perpaduan serta kesejahteraan rakyat.

“Yang dinilai Allah bukan lambang pada kertas undi tetapi niat, amanah dan usaha menegakkan kebaikan serta mencegah kemungkaran,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa tiada parti politik yang maksum, justeru semua perlu dinilai berdasarkan prestasi, tadbir urus dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkukuhkan program literasi demokrasi supaya rakyat dapat membezakan antara tuntutan agama yang qat’ie dengan propaganda politik partisan.

“Majlis Fatwa Kebangsaan wajar meneliti isu eksploitasi agama dalam kempen politik dan mengeluarkan panduan jelas mengenai batas penggunaan dalil agama, istilah syariah dan ganjaran ukhrawi bagi tujuan meraih sokongan politik,” katanya.

Aiman Athirah menegaskan bahawa politik boleh berbeza, parti boleh bertukar dan kerajaan boleh berubah, namun Islam mesti kekal sebagai payung penyatuan umat.

“Undi adalah amanah rakyat. Islam pula amanah Allah. Jangan sekali-kali kita mencampuradukkan kedua-duanya sehingga agama yang suci dijadikan alat memenangkan parti, sedangkan parti sepatutnya menjadi alat untuk memartabatkan nilai agama.

“Undi ialah hak demokrasi, bukan sijil pahala untuk mana-mana parti. Jangan monopoli syurga dengan parti dan jangan sempitkan Islam dengan politik.

“Agama mesti memimpin politik, bukan politik memperdagangkan agama,” katanya.

Terdahulu, AJK Pas Pusat, Dr Rosni Adam dalam satu kenyataan berkata, undi Pas merupakan amal jariah berterusan.

Menurutnya, undi Pas juga ialah undi untuk agenda Islam dalam ruang pentadbiran, perundangan dan dasar awam.

Anda Mungkin Berminat