KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan untuk menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpunca daripada sikap rakus parti itu dalam pembahagian kerusi serta kegagalan menjunjung agenda penyatuan ummah.
Dalam penulisan Minda Presiden Pas, Abdul Hadi menyifatkan ahli Pas terpaksa menanggung beban besar sepanjang kerjasama dengan Bersatu termasuk bekerja untuk calon yang tidak berkelayakan dan tidak mempunyai jentera sendiri.
“Ternyata apabila turun ke lapangan, mereka (Bersatu) tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri,” katanya.
Beliau turut mendakwa Bersatu menghalang kemasukan parti-parti Melayu Islam lain seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra ke dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus melemahkan usaha memperkukuh perpaduan politik umat Islam.
Krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan pemecatan besar-besaran Ahli Parlimen juga disebut sebagai faktor yang menjejaskan kekuatan PN.
“Apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya lagi.
Menurut Abdul Hadi, Majlis Syura Ulamak Pas selepas melakukan kajian maqasid al-syariah dan siasah syar‘iyyah memutuskan bahawa kerjasama dengan Bersatu tidak lagi membawa maslahah.
Walaupun terpaksa mengorbankan kerusi dan tenaga ahli, beliau berkata, Pas tetap meraih kemenangan besar dengan menawan empat negeri, menambah kerusi Parlimen termasuk di Sabah serta mendapat sokongan pemimpin yang dipecat daripada Bersatu.
“Inilah berkat beristiqamah dengan pertolongan Allah kerana keikhlasan para pejuangnya, walaupun terpaksa menanggung bebanan masalah daripada pihak yang lain,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada Isnin membuat keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas dan Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.








