‘Islam Dilaksana Secara Beradab Dan Berilmu, Bukan Sekadar Slogan’ – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan Islam, sebaliknya terus memperkukuh syiar dan institusi Islam melalui dasar yang berpaksikan ilmu, ihsan dan keadilan.

Beliau menyifatkan tuduhan kononnya kerajaan mengabaikan Islam sebagai fitnah politik sempit yang menunggang agama demi kepentingan kuasa.

“Fitnah kononnya Kerajaan MADANI meminggirkan Islam hanyalah permainan politik sempit yang menunggang agama demi kuasa.

“Hakikatnya, kerajaan inilah yang benar-benar melaksanakan dasar Islam secara beradab, berilmu dan berpaksikan ihsan, bukan sekadar slogan,” katanya dalam satu kenyataan sempena pembentangan Belanjawan 2026.

Kenyataan itu hadir sebagai respons terhadap dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam.

Namun katanya, Belanjawan 2026 membuktikan sebaliknya dengan lebih RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkasakan institusi Islam di seluruh negara.

Peruntukan itu merangkumi usaha memperluas pendidikan Islam di semua peringkat, menaik taraf sekolah tahfiz dan pondok serta memperkasa masjid sebagai pusat ilmu dan pembangunan komuniti.

Ia menjadi bukti nyata bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja mengekalkan syiar Islam, malah memperkukuhnya demi kemajuan ummah.

“Islam tidak ditegakkan dengan caci-maki atau kebencian tetapi dengan kebijaksanaan dan keadilan, inilah roh sebenar Islam yang MADANI,” tambahnya yang turut menyentuh pendekatan inklusif dan berhemah yang menjadi teras pentadbiran beliau.

Anda Mungkin Berminat