PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menjadi suspek yang disiasat dan bukan sekadar saksi, dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri akan dipanggil semula pada hari Rabu ini untuk rakaman percakapan lanjut.
Namun, katanya, proses rakaman percakapan itu akan bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera tersebut.
“Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam ‘safehouse’ mengesahkan beliau sebagai suspek.
“Dalam kes ini, saya boleh katakan bahawa beliau adalah suspek, kerana beliau telah diminta untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).
“Kedua, dengan penemuan wang ini dan kaitannya dengan beliau, kita perlu mendapatkan penjelasannya mengenai wang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM pada Isnin, menerusi siaran secara langsung.
Dalam sidang akhbar itu, SPRM mempamerkan kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang tunai yang dirampas itu termasuk nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Semalam, SPRM mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Ismail Sabri kini disiasat berkenaan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM berkata, fokus siasatan adalah pada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.