TEL AVIV: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) melaporkan menerima sekurang-kurangnya 10 maklumat kecemasan daripada kapal flotila Malaysia yang mendakwa sedang dikepung formasi kapal perang Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Sani Araby, menyeru orang ramai terus mengikuti perkembangan terkini misi kemanusiaan itu.
Antara yang didakwa ditahan ialah aktivis kemanusiaan Malaysia, Musa Nuwayri, selepas rakaman video beliau di atas kapal Alma tular di media sosial.
“Jika kalian menonton video ini, bermakna saya Musa Nuwayri (Delegasi Malaysia) di Kapal Alma sudah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel di perairan antarabangsa,” katanya dalam rakaman berkenaan.
Menurut laporan media Israel termasuk Channel 13, sekurang-kurangnya enam kapal flotila Global Sumud Flotilla (GSF) sudah dipintas, dengan lebih banyak pemintasan dijangka berlaku dalam masa terdekat ketika Israel menutup ruang udara dan perairannya sempena Yom Kippur.
Rakaman audio yang dikongsikan Reuters turut mengesahkan arahan tentera laut Israel kepada aktivis flotila supaya mengubah haluan kapal masing-masing.
Seorang lagi peserta Malaysia, artis Zizi Kirana, turut berkongsi di Threads peribadinya bahawa beberapa batu nautika di hadapan flotila, kelihatan kapal perang Israel membentuk formasi menghalang laluan.
“Ini adalah cubaan blockade yang jelas terhadap misi bantuan. Kami menyeru dunia untuk menyebarkan perkara ini dan menolak sekatan tidak berperikemanusiaan ini,” tulisnya pada 1.49 pagi waktu Malaysia.
Sementara itu, Kerajaan Turkiye mengutuk keras tindakan Israel memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza di perairan antarabangsa, menyifatkannya sebagai “tindakan keganasan” yang melanggar undang-undang antarabangsa serta membahayakan nyawa orang awam.
Baca juga: