LOS ANGELES: California memfailkan saman terhadap kerajaan persekutuan Amerika Syarikat atas tindakan Presiden Donald Trump mengenakan tarif import tinggi yang didakwa tidak sah dari segi undang-undang.
Gabenor Gavin Newsom menyifatkan tindakan itu sebagai satu bencana ekonomi yang menjejaskan rakyat biasa, selain mencetuskan ketidakstabilan pasaran dan kebimbangan besar dalam kalangan perniagaan di seluruh negara.
“Ini adalah kesilapan besar dalam sejarah negara – antara tindakan paling merosakkan yang pernah kita saksikan dalam era moden,” katanya.
Saman yang difailkan itu mencabar penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang digunakan Trump untuk mengenakan tarif sehingga 145 peratus, dengan menyatakan akta itu tidak memberi kuasa kepada presiden untuk menetapkan cukai ke atas barangan import.
Peguam Negara California, Rob Bonta, menegaskan hanya Kongres mempunyai kuasa untuk menetapkan tarif, bukan presiden. Katanya, mereka memohon mahkamah untuk membatalkan tindakan Trump dan mengembalikan kuasa kepada badan perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
California, yang mewakili 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan memiliki ekonomi berskala besar dengan 40 juta penduduk, dijangka menjadi negeri paling terkesan sekiranya tarif itu diteruskan.
Menurut pejabat Newsom, dasar Trump boleh menjejaskan pendapatan perdagangan negeri itu, termasuk hasil eksport pertanian, selain menjejaskan operasi pelabuhan utama yang mengendalikan 40 peratus barangan import negara.
Baca juga: