Isu 3R: 21 kes dituduh di mahkamah sejak 2023

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Sebanyak 21 kes berkaitan 3R (Agama, Kaum, Raja) telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh dari tahun 2023 hingga September 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lapan kes membabitkan isu 3R telah didakwa antara Januari hingga September 2024.

“Daripada jumlah itu, lima kes menyentuh institusi diraja dengan empat masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman.

“Tiga kes lagi membabitkan isu agama yang didakwa pada 2024 telah dijatuhkan hukuman.

“Bagaimanapun, tiada kes 3R pada 2024 yang membabitkan isu perkauman,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Jawapan ini diberikan sebagai balasan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari mengenai jumlah kes pendakwaan berkaitan 3R yang sudah dibicarakan serta disabit dengan hukuman sejak awal 2023.

Dalam pada itu, bagi tahun 2023 pula, Azalina menyatakan bahawa terdapat 13 kes berkaitan 3R yang dituduh di mahkamah, di mana lapan kes berkaitan institusi diraja dengan tiga masih dalam peringkat perbicaraan, dua telah dilepas dan dibebaskan dan tiga kes lagi telah dijatuhkan hukuman.

“Pada masa sama, tiga kes menyentuh isu agama yang dituduh pada 2023 telah dijatuhkan hukuman.

“Selain itu, dua kes menyentuh isu perkauman yang dituduh pula membabitkan satu kes masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

Anda Mungkin Berminat