Isu Laut Sulawesi: Tiada Persetujuan Dimuktamad, Malaysia Tegas Pertahan Kedaulatan

PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia masih belum mencapai sebarang persetujuan berhubung pembangunan bersama di kawasan Laut Sulawesi, menurut Wisma Putra, hari ini.

Katanya, perbincangan antara kedua-dua negara masih berada di peringkat awal dan Malaysia kekal dengan pendirian tegas mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (KUUL 1982).

“Setakat ini, tiada sebarang persetujuan telah dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

“Malaysia kekal komited dalam melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL 1982),” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri menjelaskan bahawa sebarang rundingan berkaitan isu ini akan terus dijalankan melalui mekanisme diplomatik yang berasaskan perundangan dan teknikal, di bawah kerangka dua hala sedia ada.

Dalam usaha mempertahankan kepentingan negara, Wisma Putra turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri Sabah.

“Malaysia merujuk kepada kawasan maritim yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baru Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan ‘Ambalat’ seperti yang digunakan oleh Indonesia,” katanya.

Malaysia turut memperkukuh pendiriannya berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 yang mengesahkan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia.

Isu ini turut dibangkitkan dalam Sidang Parlimen hari ini oleh Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin dan dijawab oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat