Isu UEC perlu dinilai secara matang, berteras Perlembagaan – AMK Johor

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali menjadi hangat sehingga tercetusnya perdebatan awam dan liputan media, sekali gus mencetuskan pelbagai pandangan daripada pelbagai pihak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad menegaskan, sebarang usaha memperjuangkan isu dalam negara mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan serta prinsip pembinaan perpaduan nasional, tanpa berpihak kepada mana-mana kaum atau agama.

“Pendekatan sedemikian penting bagi memastikan hala tuju negara kekal berteraskan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersatu dan mempunyai identiti kebangsaan yang jelas.

“Universiti awam dan perkhidmatan awam bukan sekadar institusi akademik atau laluan kerjaya, tetapi merupakan tapak penting pembinaan nusa bangsa, dasar awam dan identiti nasional.

“Sehubungan itu, penguasaan Bahasa Kebangsaan serta kefahaman sejarah Malaysia merupakan keperluan asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau berpandangan perbincangan mengenai UEC tidak seharusnya berakhir dengan penolakan sepenuhnya.

Dalam konteks itu, Faezuddin menggesa semua pihak khususnya ahli politik agar meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit.

“Isu UEC tidak wajar terus dijadikan modal perdebatan setiap kali menjelang pilihan raya, sebaliknya dibincangkan secara matang dalam kerangka reformasi pendidikan nasional,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa integrasi nasional bermula daripada pendidikan, dan pendidikan yang berjaya ialah pendidikan yang melahirkan warganegara Malaysia yang berakar pada identiti kebangsaan, selain terbuka kepada kepelbagaian ilmu dan budaya.

Faezuddin dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keutamaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, di samping mengiktiraf kepentingan bahasa-bahasa lain dalam konteks ilmu, ekonomi dan kemajuan negara.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah laporan media yang menyatakan Perdana Menteri “menolak” atau “menutup terus” isu UEC, sambil menyifatkannya sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman penuh kenyataan Perdana Menteri, jelas bahawa pendekatan yang diambil adalah bersifat berhati-hati, inklusif dan berimbang, dengan meletakkan asas kenegaraan sebagai keutamaan sebelum memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat