Itali Lumpuh! Rakyat Bangkit Bantah Kekejaman Israel

ROM: Itali lumpuh hampir sepenuhnya selepas ratusan ribu rakyat membanjiri jalanan dalam demonstrasi besar-besaran membantah kekejaman Israel terhadap Palestin serta serangan rejim Zionis ke atas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Mogok umum kebangsaan anjuran kesatuan sekerja terbesar, CGIL, bersama gabungan lain telah menjejaskan sektor pengangkutan, pendidikan dan perkhidmatan awam di seluruh negara.

Lebih 70 bandar utama termasuk Rom, Milan, Genoa, Turin dan Livorno menjadi tumpuan protes.

Rangkaian kereta api, bas, metro dan sekolah-sekolah dihentikan operasinya, menjadikan protes kali ini antara yang terbesar dalam sejarah moden Itali.

 Beberapa perhimpunan dilaporkan tegang dengan penggunaan gas pemedih mata di Milan dan Turin, namun majoritinya berlangsung aman dengan laungan “Free Palestine!” dan “Stop the Genocide!”.

Antara tindakan paling simbolik ialah  di pelabuhan Genoa dan Livorno oleh pekerja pelabuhan yang enggan membenarkan penghantaran senjata ke Israel.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai solidariti terhadap rakyat Gaza.

 “Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada mesin pembunuh. Kami berdiri bersama Palestin,” tegas jurucakap pekerja pelabuhan Genoa di hadapan ribuan peserta.

Gelombang kemarahan rakyat tercetus selepas serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla, kapal bantuan antarabangsa yang membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Beberapa aktivis Itali dilaporkan cedera dan ditahan dalam serangan tersebut, sekali gus mencetuskan kecaman meluas terhadap rejim Zionis yang didakwa mencabul undang-undang antarabangsa.

Protes besar ini memberi tekanan hebat kepada kerajaan Perdana Menteri Giorgia Meloni yang dikritik kerana sikap lembut terhadap Israel dan enggan mengiktiraf negara Palestin.

Parti pembangkang mendesak kerajaan mengambil pendirian lebih tegas termasuk menghentikan kerjasama ketenteraan dengan Israel serta mengiktiraf hak Palestin untuk merdeka.

Demonstrasi di Itali ini mencerminkan gelombang kesedaran global yang semakin meningkat menuntut keadilan untuk Palestin.

 Solidariti sama turut bergema di Sepanyol, Perancis, Turki, Malaysia dan Indonesia, menandakan kebangkitan suara rakyat dunia menolak kezaliman.

“Itali hari ini berdiri di sisi kebenaran. Kami tidak akan diam selagi Gaza terus berdarah,” ujar seorang aktivis pro-Palestin di Rom.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat