SEORANG jemaah yang tular dihalau dari sebuah surau di Halaman 11, Teluk Panglima Garang baru-baru ini merupakan bapa kepada Pendakwah bebas dan personaliti televisyen, PU Azhar Hilmi.
Menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini, PU Azhar meluahkan rasa kecewa dan marah apabila mengetahui bapanya dihalau dengan cara yang tidak beradab di surau terbabit.
Kejadian itu tular selepas satu video menunjukkan seorang lelaki warga emas sedang duduk beriktikaf selepas solat Subuh, sebelum didatangi seorang wanita yang dipercayai pihak pengurusan surau lalu menghalaunya keluar.
“Video yang tular itu, pak cik yang sedang duduk tenang dalam surau, itu abah saya. Setiap pagi, abah ke surau untuk solat Subuh, kemudian duduk membaca al-Quran, tunggu waktu Dhuha. Selesai solat sunat Dhuha baru balik.
“Tapi pagi itu, datang seorang wanita, terus halau abah keluar.
Tak cukup dengan itu, dia rakam pula video abah secara terbuka, seolah-olah abah buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan wanita tersebut sangat tidak wajar, apatah lagi apabila ia diperlakukan ke atas seorang warga emas yang tidak mengganggu sesiapa dan hanya ingin beribadah di rumah Allah.
“Abah saya bukan tidur dalam surau. Bukan bising. Bukan mengganggu sesiapa. Dia cuma duduk, baca al-Quran. Tapi layanan yang diberi seolah-olah dia penceroboh. Sakit hati bila tengok video itu.
PU Azhar turut mempersoalkan, sejak bila institusi surau menjadi tempat yang begitu eksklusif sehingga bapanya juga dihalau.
“Sejak bila surau jadi tempat eksklusif sampai orang tua pun kena halau?” soalnya.
Dalam nada kecewa, beliau mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati, menjaga adab dan budi bahasa, terutamanya ketika menguruskan rumah ibadah.
“Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai jaga bangunan saja, tapi lupa jaga adab. Kita boleh halau orang dari surau, tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit. Geramnya… Allah!” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan insiden tular membabitkan seorang wanita yang menegur dan menghalau seorang jemaah lelaki dari sebuah surau walaupun individu tersebut hanya datang untuk beribadah.
Difahamkan, tindakan itu dibuat atas alasan berlaku kes kecurian di surau tersebut baru-baru ini.
Namun begitu, menurut maklumat terkini, wanita yang merakam kejadian itu bukanlah ahli jawatankuasa surau berkenaan.