KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang tampil menjawab dakwaan tular di media sosial yang didakwa menghina serta mencemar maruah para sahabat Rasulullah SAW khususnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA, Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA.
Menurut jabatan itu, dakwaan kononnya Saidina Abu Bakar merupakan “bapa ceti”, kaya kerana menindas golongan miskin, selain tuduhan bahawa Saidina Umar gemar mengganggu isteri orang dan mempunyai kehidupan tidak bermoral adalah tidak berasas serta bercanggah dengan fakta sejarah Islam yang muktabar.
Kenyataan itu menegaskan bahawa Saidina Abu Bakar merupakan seorang usahawan berjaya dan tokoh Quraisy yang dihormati sejak sebelum kedatangan Islam lagi kerana akhlak, ilmu serta sifat dermawannya.
“Beliau merupakan salah seorang pembesar Quraisy pada zaman jahiliah, termasuk dalam kalangan tempat rujukan dalam mesyuarat mereka, orang yang mereka cintai serta yang sehaluan dengan mereka,” menurut kenyataan itu dengan memetik pandangan Imam al-Nawawi.
Menurut kenyataan sama, kekayaan Saidina Abu Bakar diperoleh hasil aktiviti perdagangan kain dan perniagaan yang dijalankan secara jujur, bukannya melalui penindasan atau riba seperti didakwa.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa masyarakat Quraisy sendiri mengiktiraf kemuliaan akhlak Saidina Abu Bakar sehingga seorang musyrik bernama Ibn al-Daghinah pernah mempertahankan beliau kerana sifat pemurah dan suka membantu golongan susah.
Selain itu, hubungan rapat antara Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar sebelum kerasulan baginda juga menjadi bukti keperibadian mulia sahabat tersebut.

Berkaitan Saidina Umar al-Khattab pula, Jabatan Mufti Pahang menegaskan beliau sememangnya terkenal dengan sifat tegas dan keras sebelum memeluk Islam, namun dakwaan bahawa beliau seorang penzina atau suka mengganggu wanita adalah fitnah yang tiada asas.
Menurut jabatan itu, penentangan Saidina Umar terhadap Islam pada peringkat awal berpunca daripada keinginannya mempertahankan kesatuan masyarakat Quraisy dan tradisi nenek moyang ketika itu.
“Ketegasan dan kekerasan beliau digunakan untuk menegakkan prinsip keadilan dan kebenaran semenjak zaman jahiliah,” jelas kenyataan berkenaan.
Jabatan itu turut menolak dakwaan bahawa Saidina Umar pernah membunuh seseorang hanya kerana memijak khuf miliknya serta dakwaan kononnya wujud athar menyamakan Umar dengan syaitan.
“Setakat penelitian kami terhadap kitab-kitab hadis dan sejarah yang muktabar, dakwaan tersebut tiada asal usulnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Pahang turut menafikan dakwaan kononnya Saidina Uthman dan Saidina Ali mempunyai sejarah kehidupan buruk sebelum Islam.
Menurut jabatan berkenaan, Saidina Uthman dikenali sebagai seorang saudagar kaya yang sangat pemalu, bermaruah dan dermawan, manakala Saidina Ali pula dibesarkan dalam rumah Rasulullah SAW sejak kecil serta tidak mempunyai sejarah silam yang buruk.
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Pahang menegaskan semua dakwaan yang tular tersebut merupakan kebatilan dan kesalahan besar kerana menyentuh maruah para sahabat Nabi yang dimuliakan syariat Islam.
“Kebenaran mestilah ditegakkan dengan kebenaran juga. Kebenaran tidak akan tertegak dengan kebatilan,” tegas jabatan itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh didakwa mengeluarkan kenyataan dalam ceramahnya yang menggambarkan empat sahabat utama Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan, dan Ali Abi Talib mempunyai sejarah hidup yang keji sebelum memeluk Islam.
Kenyataan itu mencetuskan isu hangat di media sosial kerana ia disifatkan menghina keperibadian sahabat Rasulullah SAW.
Baca juga:








