PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara hari ini tampil memperjelas kedudukan susulan gesaan beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan pelantikan dalam badan kehakiman khususnya melibatkan jawatan tertinggi.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu menekankan komitmennya terhadap kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman serta menjunjung prinsip kebebasan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu turut memperjelas pelantikan hakim mahkamah atasan termasuk Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dilakukan berdasarkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 122B Perlembagaan.
Menurutnya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) memperincikan prosedur itu, namun “
‘kuasa memberi nasihat kekal pada Perdana Menteri’.
“Proses pelantikan jawatan utama seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan memerlukan penelitian menyeluruh serta pematuhan kepada tatacara perlembagaan,” menurut kenyataan itu.
Dakwaan berhubung kelewatan, Jabatan Peguam Negara berkata, ianya harus dinilai sebagai tanggungjawab perlembagaan dan bukan semata-mata kegagalan pentadbiran.
Kenyataan itu turut menyentuh dakwaan serius terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan berkaitan keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim.
Jabatan itu menjelaskan bahawa segala pertimbangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) adalah rahsia dan dilindungi oleh undang-undang dan sebarang tuduhan kekal bersifat spekulatif selagi tiada bukti kukuh.
Mereka turut menegur perbandingan semasa dengan skandal VK Lingam pada 2007 yang disifatkan sebagai tidak wajar memandangkan kes itu melibatkan ‘bukti jelas campur tangan pelantikan’.
Dalam konteks semasa, katanya, dakwaan hanya berkisar pada isu prosedural yang belum disokong secara sah.
“Jabatan Peguam Negara menggesa agar semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu, sebaliknya menghormati proses pelantikan kehakiman yang berlandaskan bukti, undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa, bukan tekanan politik atau kempen awam,” katanya.
Untuk rekod, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 Julai lalu selepas berkhidmat selama enam tahun.