JAKIM nafi dakwaan paksa pelajar bukan Muslim peluk Islam

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius berhubung satu laporan berita antarabangsa yang mendakwa agensi itu terlibat dalam isu memaksa pelajar bukan Islam supaya memeluk Islam semasa program orientasi universiti.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sebarang laporan yang dibuat haruslah bersandarkan sumber yang sahih dengan pembuktian yang jelas demi mengelakkan salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.

“JAKIM menasihatkan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan berita demi mengekalkan keharmonian hidup beragama yang telah dinikmati sekian lama oleh masyarakat Malaysia.

“Semua pihak diseru agar menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi panduan dan asas negara ini dibina.

“JAKIM menyeru pengamal media khususnya dari luar negara agar sentiasa menghormati sensitiviti budaya, agama, dan perlembagaan negara Malaysia ketika melaporkan sebarang isu yang melibatkan masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, pihak universiti terlibat telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

Pada 16 Januari lalu, media International Christian Concern (ICC) telah mengeluarkan satu laporan berita mendakwa Kerajaan Malaysia, JAKIM memaksa pelajar bukan Islam untuk memeluk Islam.

Dakwanya, pelajar tersebut dipaksa mempromosikan kebaikan Islam dan kelemahan agama lain, ditawarkan faedah sosial atau akademik sebagai pertukaran untuk menukar agama dan pelajar juga diancam jika mereka enggan.

Bagaimanapun, portal berita itu tidak menyatakan universiti yang terlibat dan bila perkara itu berlaku.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat