Jaminan Diploma Buat Pesara ATM

Oleh: Syahirah Harish

KUALA LUMPUR: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) layak peroleh kerjaya kedua setelah bersara melalui program Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning) WBL bermula tahun depan.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), melalui inisiatif WBL ini, anggota ATM yang bersara mempunyai kelebihan mencari pekerjaan baharu dengan sekurang-kurangnya mempunyai taraf pendidikan diploma.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengalaman, pengetahuan, bakat, dan kemahiran anggota ATM yang telah berkhidmat untuk tempoh tertentu akan dinilai secara berstruktur.

Penilaian yang dilakukan bertujuan memberikan mereka kelayakan akademik seperti diploma, ijazah atau kelayakan yang lebih tinggi, mengikut kelayakan serta kesesuaian individu.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan anggota tentera menyertai perkhidmatan dengan kelayakan SPM sahaja dan mereka meninggalkan perkhidmatan 21 tahun kemudian dengan tahap kelayakan yang sama.

“Keadaan tersebut bukan sahaja tidak memberi apa-apa kelebihan akademik, malah tidak meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor mengenai usaha-usaha Kementerian Pertahanan dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa dengan kelayakan yang diiktiraf, mereka boleh memohon pekerjaan yang lebih sesuai dengan pengalaman serta kemahiran yang telah mereka kumpulkan sepanjang perkhidmatan.

Inisiatif WBL ini diharapkan dapat memberikan impak positif terhadap kebolehpasaran anggota ATM selepas persaraan, sekali gus meningkatkan tahap kesejahteraan dan kualiti hidup.

Anda Mungkin Berminat