Jangan Biar Sentimen Kaum Rosak Masa Depan Negara – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia sejak awal dibina atas semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’, dengan kepelbagaian kaum dan agama menjadi asas pembentukan negara sejak merdeka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya pada Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak, beliau berkata, gagasan Malaysia MADANI kembali memperkukuh nilai ihsan, adab dan kemanusiaan sebagai teras pembinaan negara.

“Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan dan masyarakat Melayu serta Bumiputera sebagai majoriti.

“Namun sejak awal juga, negara ini dibangunkan dengan sikap saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian kaum serta agama,” katanya.

Beliau berkata, budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya mencari isu untuk meniup kebencian atau menakut-nakutkan rakyat demi kepentingan politik sempit.

“Sebab itu budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya setiap hari mencari isu untuk meniup kebencian, menakut-nakutkan rakyat dan memecahkan masyarakat demi laba politik sempit,” katanya.

Anwar turut menyeru rakyat yang sederhana dan cintakan keamanan agar bangkit mempertahankan perpaduan negara daripada ancaman kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman.

“Jangan kita biarkan ‘tyranny of the minority’ atau kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama,” tegas beliau.

Anda Mungkin Berminat