Jangan sapu najis tikus, risiko jangkitan boleh meningkat

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menyapu atau menggunakan vakum bagi membersihkan najis tikus kerana tindakan itu boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit.

Menurut hantaran Facebook Public Health Malaysia, najis tikus yang kering boleh pecah menjadi habuk halus apabila disapu atau divakum, sebelum berterbangan di udara.

Habuk berkenaan berkemungkinan mengandungi sisa najis, air kencing atau sarang tikus yang tercemar, sekali gus boleh memasuki saluran pernafasan tanpa disedari.

“Bahaya sebenar bukan hanya pada najis yang dapat dilihat, tetapi pada zarah halus yang tidak kelihatan dan boleh disedut ke dalam badan,” menurut hantaran itu pada Jumaat.

Public Health Malaysia berkata, kaedah lebih selamat adalah dengan membasahkan terlebih dahulu kawasan terbabit menggunakan cecair pembasmi kuman atau bancuhan peluntur yang sesuai.

Selepas dibiarkan seketika, najis itu perlu dikutip menggunakan tisu atau bahan pakai buang sebelum dibuang ke dalam plastik yang diikat kemas.

“Jika anda menemui najis tikus di rumah, jangan biarkan ia berterbangan.

“Basahkan dahulu dan bersihkan dengan selamat,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata pihaknya akan memantau rapi perkembangan penularan jangkitan hantavirus susulan laporan kes pada peringkat global.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun terdapat laporan penularan jangkitan berpunca dari sebuah kapal persiaran di negara jiran, situasi itu terkawal dan tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat