Jangan seronok sangat! Hati-hati dengan 5 tanda awal kejadian kepala air

Negara kita dirundung dengan berita menyayat hati melibatkan tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor yang mengorbankan empat beranak pada Rabu.

Hajat empat beranak untuk berkelah bertukar tragedi apabila si ibu, Aszura Bani, 37, dan tiga anaknya lemas akibat dihanyutkan kepala air semasa beriadah di Sungai Kenjur kira-kira pukul 4.30 malam.

Fenomena kepala air sememangnya tidak boleh dipandang remeh kerana fenomena itu boleh berlaku dalam sekelip mata dan mampu meragut nyawa seseorang tanpa sempat berbuat apa-apa disebabkan air yang terlalu deras.

Keadaan tersebut diburukkan lagi jika di kawasan terbabit terdapat air bawah tanah serta kejadian runtuhan tanah di hulu sungai.

Jadi, Malaysia Bangkit ingin kongsikan cara untuk mengesan tanda-tanda awal kepala air sebagai langkah berjaga-jaga.

1. Langit gelap di hulu sungai

Sebaik saja tiba di kawasan perkelahan atau sungai, anda digalakkan untuk melihat keadaan langit terlebih dahulu terutamanya di hulu sungai atau kawasan puncak bukit.

Jika langit kelihatan gelap dan ada tanda-tanda hujan, sebaiknya anda batalkan saja niat untuk berkelah di kawasan berhampiran.

2. Bunyi guruh dan kilat

Kilat dan guruh biasanya akan muncul ketika hujan sebagai tindak balas kepada perubahan suhu persekitaran.

Jika terdengar bunyi guruh dan ternampak pancaran kilat, segera tinggalkan kawasan sungai dan tidak mustahil hujan lebat sudah berlaku di atas bukit.

3. Bunyi dentuman batu yang kuat di dalam sungai

Arus deras dari atas bukit akan menolak batu-batu kecil untuk turun mengikuti aliran sungai ke bahagian sungai utama.

Ini akan menghasilkan bunyi dentuman gerakan batu-batu di dalam sungai dan ia boleh dijadikan sebagai satu amaran.

4. Air sungai berubah kekuningan dan berbuih

Peningkatan arus air dari bahagian atas bukit yang mendadak akan menyebabkan banyak partikel-partikel tanah dibawa bersama sekali gus akan menyebabkan air sungai berubah warna kepada kekuning- kuningan secara tiba-tiba.

Perkara ini juga akan membuatkan air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di bahagian permukaan.

5. Isi sungai terapung

Kelajuan air menyebabkan ke semua isi alam yang ada di dalam sungai dihanyutkan bersama termasuk keladak, daun reput, ranting serta kayu-kayu kecil.

Jika anda ternampak objek-objek ini muncul dengan banyak di permukaan air, segera tinggalkan tebing sungai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat