PETALING JAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) telah memutuskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah adalah mazhab rasmi negara ini dari segi perundangan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa MKI pada 21 dan 22 Oktober lalu.
“Kerajaan mengambil langkah memperkukuh pegangan Ahli Sunah Waljamaah dengan menekankan pendekatan wasatiyah serta mengelakkan perpecahan akibat perbezaan aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam.
“Jawatankuasa Fatwa MKI bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun untuk menyelaras dan menyeragamkan hukum-hukum fatwa agar menjadi rujukan peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya dalam sidang Dewan Negara, memetik laporan media tempatan.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai inisiatif Kerajaan MADANI untuk menangani pertembungan pelbagai aliran pemikiran Islam yang boleh menjejaskan perpaduan ummah.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama dengan institusi agama negeri bagi memastikan pentadbiran Islam selaras dengan prinsip Ahli Sunah Waljamaah.
Selain itu, katanya, khutbah Jumaat digunakan sebagai medium menyampaikan mesej kesederhanaan dan perpaduan dalam Islam.
Menjawab soalan tambahan Ros Suryati Alang mengenai kemungkinan pengeluaran garis panduan untuk penceramah pula, Zulkifli berkata, setiap negeri mempunyai jawatankuasa tauliah untuk memantau, mengawal dan meluluskan permohonan tauliah.
“Jika ada pelanggaran syarat, tauliah boleh digantung atau tidak diperbaharui,” tambahnya.
Baca juga: