JOHOR BAHRU: Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan cahaya spektakular melibatkan 300 dron piroterapi yang terbanyak pernah digunakan dalam satu pertunjukan di negara ini.
Pertunjukan bersejarah itu berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, disaksikan ribuan penyokong yang membanjiri ruang stadium dengan sorakan dan semangat luar biasa.
Langit Johor diterangi pancaran cahaya berirama, mencipta suasana magis yang menyatukan teknologi, seni dan semangat bola sepak.
Menurut MBOR, rekod yang dicatat ialah ‘Dron Piroterapi Terbanyak Digunakan dalam Pertunjukan Cahaya’.
MBOR menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti komitmen JDT dalam memperkasa pengalaman penyokong serta memperkukuh kedudukan kelab sebagai pelopor inovasi dan hiburan dalam arena bola sepak tanah air.
Dalam kenyataan, JDT menyifatkan detik itu sebagai lambang legasi Johor Southern Tigers yang terus melakar kejayaan, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dalam mencipta pengalaman luar biasa buat peminat.